"Mana Mak?'
Jam
6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu.
Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong
siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru
balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok
tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah
balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi
cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin.
Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak
ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap
masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah
basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju
barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv.
Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah
tanya Ateh, “Mana Mak?” Ayah
menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?” Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu
tanda tidak tahu. Ayah tidak
mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah
tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak
ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata
dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang
mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu
setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?" Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah
senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata
Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka
akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan
pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki
melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak
Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap
waktu dan setiap ketika. Sekarang anak-anak
sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang
dari bibir anak-anak Mak .
Ayah
berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja
sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak
selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur.
Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak
menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa
sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak
buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan
kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh
kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah
yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak
seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak
akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak
tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta
warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak
yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah
tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar
lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak
sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus
kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak
Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun
raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata
kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu
ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang
gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka
berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan
beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah
di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak
makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak
Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira
dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan
anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah
yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam. Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang
tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak
hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan
anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput.
Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata
semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan
balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan
di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.
Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya.
Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata
ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja
sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa
menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada
peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua
sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik
masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di
hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian Mak Uda
tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik
dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur
Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh
bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat
anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak
kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah,
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah
telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk
Mak. Hati anak-anak Mak bukan
milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa,
hanya untuk anak-anak Mak.. Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu
anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan
renyai. Ayah sedih
sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, "Mana Along?" , "Mana
Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak
Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin
menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak
sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya
berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak
tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak,
Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi
kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?"
"
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang
dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik
kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu,
"Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita
jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan
sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi
namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut
Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan
ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua
dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah.
Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak
sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil.
Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa
berjawab?
p/s: terlalu sayangkan kedua2 mak.. insyaAllah selagi nyawa masih dikandung badan akan saya berbakti kepada mak2.. itu pun xkan dapat saya balas apa yang telah mak2 lakukan utk saya. terima kasih mak T_T
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.